Pelaburan dan simpanan emas kini semakin popular sebagai pelindung kekayaan daripada inflasi. Walau bagaimanapun, masyarakat kini mempunyai dua pilihan utama yang berbeza dari segi kaedah pemilikan, iaitu emas fizikal dan emas digital.
Emas fizikal merujuk kepada logam mulia yang boleh dipegang secara nyata oleh pemiliknya. Ia biasanya berbentuk jongkong emas (bar), syiling dinar, atau barang kemas. Antara contoh jenama emas fizikal yang terkenal di pasaran ialah Tomei , Wah Chan , Kedai Emas Seri Kelantan, dan pelbagai lagi jenama besar dan kecil.
Kelebihan utama emas fizikal ialah kepuasan memegang aset sendiri dan ketiadaan risiko digital jika berlaku kegagalan sistem internet. Bagaimanapun, penyimpan perlu memikirkan kos keselamatan seperti sewa peti besi bank serta modal permulaan yang lebih tinggi mengikut berat minimum sekeping emas.
Sebaliknya, emas digital pula ialah simpanan emas yang direkodkan secara elektronik melalui platform atau aplikasi dalam talian. Walaupun pelabur tidak memegang emas tersebut, setiap gram yang dibeli disandarkan dengan emas fizikal tulen yang disimpan selamat di dalam peti besi pembekal. Antara contoh platform emas digital yang popular dan patuh syariah adalah Akaun Simpanan Emas GAP (Public Gold), KAB Gold, MHS Gold, Bursa Gold Dinar dan pelbagai lagi jenama didalam platform digital.
Keutamaan emas digital terletak pada fleksibiliti modal, di mana pelabur boleh bermula dengan serendah RM10, serta kadar susut nilai (spread) yang lebih rendah berbanding emas fizikal.
Secara kesimpulannya, emas fizikal sangat sesuai bagi mereka yang mahukan aset ketara untuk simpanan jangka panjang. Manakala, emas digital pula amat praktikal bagi golongan yang ingin membina tabungan emas secara konsisten setiap bulan dengan modal yang kecil tanpa pening memikirkan isu keselamatan simpanan.





